SARAWAK SKILLS PERKUKUH JARINGAN TVET BERSAMA LEBIH 60 SEKOLAH MENERUSI PROGRAM RAKAN STRATEGIK

Encik Sathi Saravanan A/L Subramaniam, Ketuan Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (hadapan, empat dari kanan) dan Encik Hallman bin Sabri, Pengarah Eksekutif Sarawak Skills (hadapan, tiga dari kiri) bergambar bersama dengan rakan strategik daripada sekolah-sekolah jemputan.
2 Min Read

5 Oktober 2026: Sarawak Skills telah menganjurkan Program Rakan Strategik Sekolah Sarawak Skills dengan kehadiran wakil daripada lebih 60 sekolah jemputan. Program ini menjadi platform untuk memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara Sarawak Skills dengan pihak sekolah dalam menyokong pembangunan pendidikan serta hala tuju kerjaya para pelajar.

Turut hadir bagi menjayakan program ini ialah Encik Sathi Saravanan A/L Subramaniam, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak. Kehadiran beliau bersama para wakil sekolah amat dihargai dalam usaha mempererat hubungan dan memperkukuh kerjasama antara institusi latihan dengan pihak sekolah.

Melalui program ini, Sarawak Skills berhasrat meningkatkan kefahaman mengenai peluang pengajian dan laluan kerjaya dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Hubungan rapat dengan pihak sekolah diharapkan dapat membantu penyampaian maklumat yang lebih jelas kepada pelajar serta ibu bapa mengenai pilihan pendidikan berasaskan kemahiran.

Encik Hallman (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Encik Sathi Saravanan.

Dalam program tersebut, para tetamu jemputan turut dibawa melawat tapak projek serta fasiliti latihan berteknologi tinggi di Sarawak Skills. Lawatan ini memberikan pendedahan lebih dekat mengenai kemudahan, bidang latihan dan persekitaran pembelajaran yang disediakan bagi membangunkan kemahiran pelajar selaras dengan keperluan industri.

Sarawak Skills berharap agar jaringan Rakan Strategik Sekolah ini dapat membuka ruang kepada pelaksanaan aktiviti bersama seperti perkongsian maklumat TVET, lawatan pendidikan dan program pendedahan kerjaya. Semoga kerjasama berterusan ini dapat membantu lebih ramai pelajar mengenal pasti potensi diri serta memilih laluan pendidikan dan kerjaya yang bersesuaian dengan minat dan kebolehan mereka.

Share This Article