SARAWAK SKILLS JADI LOKASI SESI TOWN HALL PPL BERSAMA KPPK, PERKUKUH SINERGI PEMBANGUNAN KEMAHIRAN

Ybrs. Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman bin Haji Md. Ali, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) (tengah) bersama dengan para Pegawai Pengesah Luaran (PPL) semasa sesi town hall.
2 Min Read

5 Oktober 2026: Sarawak Skills amat berbangga dan berbesar hati diberi kepercayaan sebagai penyedia lokasi bagi Sesi Town Hall Pegawai Pengesah Luaran (PPL) bersama Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran (KPPK). Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) atas kepercayaan yang diberikan kepada Sarawak Skills dalam menjayakan sesi ini.

Sesi ini menjadi platform penting untuk memperkukuh perkongsian maklumat, penyelarasan serta kerjasama dalam usaha memperkasakan pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan kemahiran negara. Interaksi secara langsung turut membuka ruang untuk bertukar pandangan dan meningkatkan kefahaman mengenai keperluan serta hala tuju pelaksanaan latihan kemahiran.

Peranan Pegawai Pengesah Luaran amat penting dalam memastikan kualiti dan kredibiliti persijilan kemahiran sentiasa terpelihara. Justeru, komunikasi dan penyelarasan yang berterusan antara JPK dengan PPL menjadi asas kepada pelaksanaan proses pengesahan yang berkualiti, konsisten dan berintegriti.

 

Yang Berusaha Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman bin Haji Md. Ali, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) (enam dari kiri) bersama dengan kakitangan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan para Pegawai Pengesah Luaran (PPL) Sarawak Skills.

Sebagai institusi yang komited terhadap pembangunan bakat berkemahiran, Sarawak Skills sentiasa menyokong usaha memperkukuh mutu latihan dan keberkesanan pelaksanaan TVET. Kerjasama erat antara institusi latihan, agensi berkaitan dan pihak industri amat diperlukan bagi memastikan kemahiran yang dibangunkan memenuhi keperluan pekerjaan serta perkembangan teknologi semasa.

Sarawak Skills berharap agar sesi ini dapat memperkukuh jaringan kerjasama dan persefahaman dalam kalangan semua pihak yang terlibat. Semoga usaha bersama ini terus menyumbang kepada pembangunan ekosistem TVET yang berkualiti serta melahirkan tenaga kerja kompeten dan berdaya saing untuk kemajuan Sarawak dan negara.

Share This Article